KUALA LUMPUR: Majlis Ulama UMNO Malaysia menggesa semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya melabel individu sebagai ‘sakau’, ‘rompak’ atau ‘pengkhianat’ berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, sebarang tuduhan berkaitan salah laku perlu dibuktikan menerusi proses undang-undang yang sah, bukannya berdasarkan persepsi, sangkaan atau ‘hukuman media’.
Menurutnya, isu membabitkan TH perlu ditangani berlandaskan prinsip amanah, tabayyun dan keadilan, memandangkan institusi itu bukan sekadar entiti kewangan, malah membawa amanah besar umat Islam termasuk simpanan pendeposit dan urusan ibadah haji.
“Islam menuntut umatnya melakukan tabayyun, bukan menghukum berdasarkan sangkaan, kebencian atau persepsi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dusuki berkata, pihaknya turut menolak sebarang usaha menunggang isu RCI TH demi kepentingan politik sempit kerana ia berpotensi mencetuskan persepsi liar dan menjejaskan keyakinan pendeposit.
Beliau menegaskan, RCI seharusnya menjadi mekanisme untuk mencari kebenaran, mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh institusi, bukannya dijadikan medan dendam politik atau alat untuk menghukum pihak tertentu secara terpilih.
Pada masa sama, Majlis Ulama UMNO tidak akan mempertahankan mana-mana individu sekiranya wujud salah laku yang dibuktikan.
“Jika terdapat unsur rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa atau pengkhianatan amanah, maka perkara tersebut hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk disiasat dan diambil tindakan mengikut lunas undang-undang, tanpa mengira kedudukan mana-mana individu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dusuki menggesa kerajaan memberikan penjelasan menyeluruh berhubung status terkini penstrukturan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), termasuk kedudukan sukuk, prestasi aset dipindahkan, bayaran kepada TH serta kesannya terhadap pendeposit.
Katanya, penjelasan terperinci penting bagi memastikan rakyat memahami kedudukan sebenar TH selepas proses penstrukturan aset, bukannya bergantung kepada maklumat yang bersifat separuh jalan.
Beliau berkata, keutamaan utama perlu diberikan kepada kestabilan TH serta perlindungan kepentingan umat Islam, termasuk hibah pendeposit, bantuan kewangan haji dan kos menunaikan ibadah haji.
“Tegakkan kebenaran, ambil tindakan jika terbukti salah, perbaiki kelemahan jika ada, tetapi hentikan fitnah dan politik persepsi yang akhirnya boleh menggugat keyakinan umat Islam terhadap institusi mereka sendiri,” katanya.










