MAIWP Perjelas Salah Faham Penerimaan Biasiswa Oleh Anak Dr Zul

KUALA LUMPUR: Selepas ramai pihak mengkiritik dan mempersoal kelayakan Abdul Syakur Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menerima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Luar Negara (Jordan), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tampil menjelaskan pemberian itu berdasarkan dasar serta prosedur operasi standard (SOP).

Dalam satu kenyataan MAIWP menjelaskan, pemberian biasiswa itu diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Penerima Skim Biasiswa MAIWP pada 11 September lalu.

Bahkan Abdul Syakur memperoleh keputusan 8A bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), juga merupakan penuntut lepasan Pondok Moden Al-Abaqirah MAIWP.

“Dasar agihan ini melibatkan 30 skim dasar agihan bantuan termasuk Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang yang boleh dibantu melalui asnaf fakir, miskin dan fasabilillah.

“Pada asasnya asnaf fisabilillah tidak tertakluk kepada pengiraan had kifayah.

“Penentuan kelayakan bagi skim bantuan ini berdasarkan lebihan had kifayah yang akan dipertimbangkan melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Penerima Skim Biasiswa MAIWP,” katanya dakam kenyataan.

Kenyataan MAIWP itu bagi menjawab reaksi pihak tertentu yang mempertikaikan kelayakan Abdul Syakur, yang merupakan anak bekas menteri dan didakwa mempunyai kelebihan dari segi kewangan berbanding calon lain untuk menerima biasiswa berkenaan.

MAIWP menjelaskan, takrifan asnaf fisabilillah yang diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 4 Mac 2021, merujuk kepada mana-mana golongan atau pihak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti untuk menegakkan, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam.

Tambahnya, bapa pelajar (Dr Zulkifli) hanya menerima pencen dan telah melepaskan segala jawatan beliau termasuk juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia.

Abdul Syakur akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam pengajian Fiqh Wa Usuluh.

BBerkaitan

Latest articles