Akmal Tempelak Cadangan Darurat Dibawa Pemimpin DAP

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh melontarkan kritikan keras terhadap cadangan mengisytiharkan darurat susulan krisis ekonomi, dengan menyifatkannya sebagai langkah tidak berasas dan mencerminkan kelemahan pentadbiran.

Beliau mempersoalkan rasional cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, sambil menegaskan bahawa negara pernah berdepan situasi ekonomi mencabar sebelum ini tanpa perlu mengambil langkah ekstrem seperti darurat.

“Ketika pentadbiran Barisan Nasional, negara turut melalui krisis ekonomi, namun tidak timbul keperluan untuk mengisytiharkan darurat. Malah, keadaan ekonomi tidak menentu juga berlaku di banyak negara lain ketika ini tanpa tindakan sedemikian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, cadangan tersebut secara tidak langsung memperlihatkan kegagalan kepimpinan semasa dalam mengurus cabaran ekonomi secara berkesan.

“Apabila ada pihak mencadangkan darurat, itu menunjukkan mereka sendiri tidak mampu mentadbir dengan baik,” tegasnya.

Dalam nada lebih keras, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu menyifatkan jika kerajaan benar-benar buntu sehingga memerlukan darurat, maka rakyat mempunyai pilihan untuk menukar kepimpinan sedia ada.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong dilaporkan mencadangkan agar kerajaan Melaka memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya darurat diisytiharkan sebagai langkah menangguhkan pilihan raya negeri.

Beliau berpandangan situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini, termasuk kenaikan kos sara hidup, memberi tekanan kepada rakyat dan wajar diberi keutamaan sebelum sebarang proses pilihan raya diteruskan.

BBerkaitan

Latest articles