Mahkamah Persekutuan Tolak Semakan Isa Samad, Sabitan Rasuah RM3 Juta Kekal

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad gagal dalam percubaan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman berkaitan kes rasuah membabitkan pembelian sebuah hotel di Kuching bernilai kira-kira RM3 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada Jumaat menolak permohonan semakan yang dikemukakan Isa, 76, sekali gus mengekalkan keputusan terdahulu yang mengembalikan sabitan serta hukuman terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Keputusan sebulat suara itu dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Ravinthran Paramaguru.

Menurut Azizah, mahkamah mendapati tiada sebarang salah laksana keadilan atau keadaan luar biasa yang membolehkan kuasa semakan digunakan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau turut menjelaskan bahawa Isa tidak pernah dinafikan hak untuk mengemukakan hujah pembelaan atau rayuan mitigasi sebelum panel rayuan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dalam prosiding terdahulu.

Dengan keputusan itu, saluran perundangan Isa kini dianggap telah berakhir dan satu-satunya pilihan yang masih ada ialah memohon pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong memandangkan kesalahan berkenaan dilakukan di Kuala Lumpur.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Isa atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, sebelum menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.5 juta.

Walaupun Mahkamah Rayuan membebaskan beliau dua tahun lalu, Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membatalkan keputusan tersebut, mengembalikan semula sabitan dan hukuman, selain mengarahkan Isa menjalani hukuman penjara serta-merta.

BBerkaitan

Latest articles