M Saravanan Gesa NGO India Berbincang Dan Tidak Bertikam Lidah Sesama Sendiri

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan mahu semua organisasi bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di Malaysia bersatu padu untuk kepentingan generasi akan datang.

Beliau berkata semua pemimpin NGO berkenaan seharusnya berbincang dan menyelesaikan isu berbangkit, termasuk yang melibatkan bahasa dan agama Hindu.

“Kita (kaum India) hanya ada dua juta populasi di Malaysia. NGO perlu memikirkan perpaduan masyarakat India dan elakkan bertikam lidah,” katanya selepas menghadiri Tamil Puthandu Kondatam’ di Dewan Kalamandabam di ibu negara, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu beberapa NGO India, yang membahaskan sama ada bulan Thai atau Chittrai mengikut Kalendar Tamil yang seharusnya disambut sebagai Tahun Baharu Tamil.

Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berjanji akan mewujudkan satu platform agar semua pihak dapat berbincang dan membuat satu keputusan bernas dalam isu berkenaan.

Tamil Puthandu Kondatam acara julung kali anjuran Malaysia Hindu Sangam (MHS) bersama 30 NGO masyarakat India.

Terdahulu, acara kebudayaan India termasuk persembahan Urume Meelam (alat muzik tradisional India) Poi-ka Kuthirai (tarian menggunakan patung kuda), tarian Bharathanatyam, dan pertunjukkan Silambam, seni mempertahankan diri yang berasal dari Tamil Nadu, India, memeriahkan sambutan itu.

Sambutan yang berlangsung enam jam itu juga, menyaksikan beberapa pertandingan tradisional bagi mengekalkan tradisi kaum India itu, seperti pertandingan melukis ‘Kolam Ranggoli’ dan mengikat bunga melur.

Sementara itu, Presiden MHS RS Mohan Shan berkata, seramai 300 orang seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyertai sambutan, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Saravanan turut melancarkan buku bertajuk ‘Tamil Puthandum, Thai Thirunalum’ (mengenai Tahun Baharu Tamil dan Perayaan bulan Thai) nukilan Dr Jeyabalan Valliyan pada majlis itu.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr Tan Awang Besar.

Permulaan bulan Tamil iaitu Chittirai, menandakan hari pertama dalam kalendar Tamil dan tahun ini dikenali sebagai Tahun Pilava.

BBerkaitan

Latest articles