Lori Hilang Kawalan Sebelum Terbalik Punca Nahas Ngeri Ragut Empat Nyawa

BENTONG: Polis memaklumkan kemalangan ngeri yang mengakibatkan empat individu termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, petang semalam berpunca dari lori treler yang dipercayai hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit dan berselekoh sebelum terbabas serta terbalik menghempap sebuah kereta.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta bersama tiga penumpang lain disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas kenderaan mereka dihempap lori berkenaan.

Insiden tersebut turut menyebabkan laluan di kawasan terbabit sesak ketika operasi menyelamat dan mengalihkan kenderaan dijalankan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua mangsa yang terkorban telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk menjalani proses bedah siasat.

Menurut beliau, pemandu lori treler berusia 40 tahun hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul serta kini menerima rawatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati pemandu lori terbabit mempunyai 15 rekod saman. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sampel darah pemandu lori turut diambil bagi tujuan analisis toksikologi, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.

Sementara itu, operasi mengalihkan lori yang terbalik berdepan cabaran apabila bahagian kepala kenderaan berat itu terbakar sekitar jam 8 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran berlaku selepas semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.

Menurutnya, api tercetus ketika sebuah jentolak sedang menjalankan kerja mengangkat dan mengalihkan lori yang terbalik, menyebabkan operasi terpaksa dihentikan sementara sebelum tindakan pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba.

BBerkaitan

Latest articles