Malaysia Tidak Akan Jadi Transit Kargo Sokong Operasi Ketenteraan Israel

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan tidak akan membenarkan wilayahnya digunakan sebagai laluan transit bagi penghantaran kargo yang menyokong keupayaan ketenteraan Israel, termasuk tindakan yang menyumbang kepada kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendirian itu kekal jelas dan tegas sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk tidak menyokong sebarang bentuk pencerobohan atau operasi ketenteraan yang mengancam nyawa orang awam.

“Pendirian Malaysia adalah jelas dan tegas. Kami tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel serta kekejamannya terhadap rakyat Palestin dan nyawa orang yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di platform media sosial X susulan laporan media asing yang menyoroti penelitian baharu terhadap penghantaran kargo ke Israel.

Anwar turut memberi amaran bahawa sebarang penghantaran yang mencurigakan akan diperiksa dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang Malaysia.

“Sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles