Rakyat Malaysia Di Jeddah, Makkah Selamat, Diminta Tidak Panik

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Jeddah dan Makkah disahkan berada dalam keadaan selamat susulan amaran kecemasan yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi, semalam.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, pihak konsulat sudah mengambil langkah memaklumkan perkembangan berkenaan kepada rakyat Malaysia di Wilayah Hijazi.

Menurutnya, grafik rasmi Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut diedarkan melalui kumpulan WhatsApp komuniti rakyat Malaysia sebagai panduan menghadapi situasi berkenaan.

“Alhamdulillah di Jeddah dan Makkah semuanya baik.

“Yang penting rakyat Malaysia tidak panik. Kita ingatkan juga supaya jangan sebarkan video kerana itu kesalahan besar di Arab Saudi,” katanya.

Semalam, Arab Saudi mengeluarkan amaran mengenai potensi bahaya di Jeddah, Makkah dan Taif, termasuk menggesa penduduk berlindung serta mematuhi arahan keselamatan rasmi.

Amaran itu dikeluarkan ketika ketegangan di rantau berkenaan meningkat susulan pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman, termasuk beberapa siri serangan menggunakan peluru berpandu dan dron.

Sementara itu, Pengerusi Qasswa Travel and Tours (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Najib Alwi berkata, pihaknya setakat ini masih meneruskan perjalanan umrah yang telah dirancang berikutan tiada arahan pembatalan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Katanya, agensi akan akur sekiranya terdapat arahan rasmi untuk menghentikan atau membatalkan perjalanan.

“Agensi kami menggunakan visa umrah dan sehingga kini tiada sebarang pembatalan. Jika kementerian itu membatalkan, kami akan turuti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan keselamatan akan terus dipantau, termasuk mendapatkan maklumat terkini daripada muassasah serta mengambil kira sebarang nasihat yang dikeluarkan Kementerian Luar.

“Agensi juga akan memantau keadaan semasa dan bertanya kepada muassasah keadaan terkini.

“Dalam masa sama, kami juga akan mengikut sebarang nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar,” katanya.

Mohd Najib dijadual berlepas menunaikan umrah bersama jemaah pada 21 September ini.

Beliau berkata sekiranya berlaku pembatalan atau perubahan operasi penerbangan, jadual perjalanan lazimnya akan disusun semula mengikut perkembangan semasa.

Katanya, agensinya menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines dan Turkish Airlines yang sentiasa memantau perkembangan keselamatan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penerbangan.

“Jemaah saya setakat ini semuanya memahami keadaan dan kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan situasi berkenaan dengan rapi.

BBerkaitan

Latest articles