Keluarga Yap Shing Xuen Rayu AGC Pertimbang Semula Keputusan Bebas Remaja Didakwa Membunuh

KUALA LUMPUR: Keluarga Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu, menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan melepas dan membebaskan remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh pelajar berkenaan.

Ibu mangsa, Wong Lee Ping, berkata keluarga kini berusaha mendapatkan sokongan orang ramai menerusi petisyen dan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi menggesa AGC meneliti semula keputusan berkenaan.

Menurutnya, keluarga menghormati mahkamah dan proses kehakiman, namun mempunyai keterbatasan dari segi tindakan undang-undang yang boleh diambil.

“Kami bukan hakim dan bukan pendakwa raya tetapi hanya sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan.

“Kami menghormati bahawa prosiding undang-undang mempunyai peraturannya dan kami menghormati mahkamah serta proses kehakiman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lee Ping berkata, sebagai keluarga mangsa, mereka bergantung kepada pihak berkuasa dan proses undang-undang untuk memastikan kebimbangan berhubung kes berkenaan mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, keputusan membebaskan tertuduh turut menimbulkan persoalan mengenai keadilan buat mangsa serta keselamatan pelajar lain di sekolah.

Katanya, peguam juga mempunyai batasan dalam membantu keluarga kerana keputusan sama ada rayuan perlu difailkan dan kaedah untuk meneruskannya tertakluk kepada pihak pendakwaan serta peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai individu prihatin, pengamal perundangan serta mereka yang mempunyai pengetahuan dalam undang-undang jenayah dan prosiding rayuan tampil memberikan panduan serta bantuan kepada keluarga.

“Kami tidak meminta sesiapa membuat keputusan awal berhubung kes ini.

“Kami hanya berharap AGC mempertimbangkan dengan serius untuk mengemukakan rayuan sekiranya terdapat ruang di sisi undang-undang dan suara seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya akan didengari,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini melepas dan membebaskan remaja berkenaan selepas mendapati dia tidak siuman ketika kejadian.

Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan atas perkenan Sultan Selangor di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, bagi menjalani rawatan.

Tertuduh sebelum ini didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya, antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles