Linggi Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan Antarabangsa – Faizal Ramli

LINGGI, — Linggi berpotensi dibangunkan sebagai hab pelancongan warisan, sungai dan gastronomi bertaraf antarabangsa, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Faizal Ramli.

Beliau berkata pembangunan sektor itu mampu merancakkan ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkenalkan identiti Linggi kepada pasaran pelancongan antarabangsa.

Menurutnya, proses perancangan dan tadbir urus bagi mempromosikan Linggi ke pasaran luar negara telah dimulakan sebagai sebahagian daripada visi pembangunan jangka panjang kawasan berkenaan.

“Sekiranya diberikan kepercayaan dan mandat oleh rakyat pada hari pengundian Sabtu ini, saya komited untuk meneruskan agenda menjadikan Linggi sebagai hab pelancongan warisan, sungai dan gastronomi bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faizal berkata Pengkalan Kempas mempunyai tarikan bersejarah menerusi Kompleks Megalitik Pengkalan Kempas, manakala Sungai Linggi pula terkenal sebagai antara lokasi pilihan bagi aktiviti memancing udang galah di Malaysia.

Katanya, gabungan warisan sejarah, keindahan alam semula jadi dan hasil sungai merupakan aset bernilai yang boleh dikembangkan untuk menarik pelancong domestik serta antarabangsa.

Antara inisiatif yang dicadangkan ialah “Linggi River International Prawn Fishing Experience”, iaitu pakej pelancongan memancing udang galah bersama nelayan tempatan yang disasarkan kepada pelancong dari Jepun, Korea Selatan, China, Singapura, Eropah dan Timur Tengah.

Calon BArisan NAsional DUN Linggi, Datuk Faizal Ramli yang ditemui ketika berkempen baru-baru ini

Beliau turut mencadangkan Festival Udang Galah Antarabangsa Sungai Linggi diadakan setiap tahun dengan pengisian seperti pertandingan memancing, demonstrasi masakan, jualan produk tempatan dan persembahan kebudayaan.

Menurut Faizal, perancangan itu juga merangkumi pembinaan jeti pelancongan moden, penyediaan bot persiaran dan pembangunan aktiviti pelayaran sungai, ekopelancongan, pemerhatian burung serta fotografi alam semula jadi.

Pengalaman berkonsepkan “farm to table” turut dicadangkan bagi membolehkan pelawat menangkap udang galah sebelum menikmati hidangan yang disediakan oleh komuniti tempatan.

Beliau berkata pakej bersepadu itu akan menggabungkan lawatan ke Kompleks Megalitik Pengkalan Kempas dengan penginapan inap desa, masakan tradisional Negeri Sembilan, kraftangan tempatan dan pengalaman budaya kampung.

“Melalui promosi antarabangsa yang konsisten, saya yakin Linggi boleh dikenali sebagai ‘The Home of Giant Freshwater Prawn and Heritage Tourism’ serta muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang unik di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Faizal berkata pembangunan sektor pelancongan itu dijangka membuka peluang ekonomi kepada nelayan, pengusaha bot dan inap desa, usahawan makanan, peniaga kecil serta golongan belia.
Beliau berkata matlamat utama perancangan berkenaan adalah untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh seluruh komuniti setempat.

BBerkaitan

Latest articles