Lima Warga Malaysia Berada Di Tebing Barat

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anaknya berada di Tebing Barat ketika ini.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan sentiasa berhubung dengan mereka.

“Kementerian Luar menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik boleh berhubung dengan kementerian bagi membolehkan bantuan dihulur sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mereka boleh menghubungi Bahagian Asia Barat, Wisma Putra di talian 010-2884116 (Faizal) atau 011-14901787 (Hakim) atau pegawai bertugas di talian 03-8887 4570 (selepas waktu pejabat) dan melalui e-mel [email protected].

Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Amman boleh dihubungi selepas pukul 3.30 petang waktu tempatan di talian +962-65902400 dan +962 785902400 serta melalui e-mel [email protected].

Wisma Putra turut menasihatkan mana-mana pihak di negara ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menangguhkan perancangan ke Palestin berikutan keadaan keselamatan yang masih meruncing di Gaza dan Tebing Barat ketika ini.

Katanya, NGO yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada Wisma Putra terlebih dahulu.

Dalam perkembangan sama, Wisma Putra berkata, Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam dan kemusnahan ekoran pertempuran yang telah berlarutan sejak 7 Oktober lalu.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan,” jelasnya.

Wisma Putra juga menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran untuk mengelakkan pertumpahan darah.

“Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini,” katanya.

Tambahnya, mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan-pertubuhan antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan-bekalan asas dan perubatan.

“Rejim Israel tidak berhak menyekat saluran bantuan kemanusiaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles