‘Lepas Ini Nampak Saya Pakai Sarung, Tebar Roti Canai’ – Ayob Khan Usik Perancangan Selepas Bersara

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 35 tahun menabur bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian apabila berseloroh mengenai perancangannya selepas menamatkan perkhidmatan.

Ayob Khan yang akan bersara secara rasmi Ahad ini berkata, orang ramai mungkin akan melihat dirinya dalam penampilan yang jauh berbeza daripada imej seorang pegawai kanan polis.

“Insya-Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama polis.

“Selepas ini, mungkin anda akan nampak saya memakai kain sarung dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya sambil berseloroh.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran buku biografinya, ‘Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti’, semalam.

Walaupun bergurau mengenai kemungkinan membuka restoran, Ayob Khan menjelaskan fokus utamanya selepas bersara adalah untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga selepas lebih tiga dekad menggalas tanggungjawab dalam pasukan keselamatan negara.

Kenyataan santai itu mengundang senyuman para hadirin, sekali gus memperlihatkan sisi lebih bersahaja Ayob Khan yang sebelum ini dikenali dengan ketegasan dalam membanteras jenayah dan rasuah sepanjang kariernya.

BBerkaitan

Latest articles