61 Peratus Rakyat Malaysia Sukar Sediakan RM1,000 Untuk Kecemasan

KUCHING: Sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk tujuan kecemasan berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu bermakna sebahagian besar rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi perkara tidak dijangka.

Beliau berkata, sebanyak 37 peratus rakyat juga tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan.

“Inilah antara cabaran berdasarkan fakta dan angka yang dikemukakan oleh Bank Negara Malaysia. Oleh itu, saya berpendapat bahawa literasi kewangan amat penting dan perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Juh Kita Melabur, Anak Sarawak di cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Kuching pada Ahad.

Menurut laporan BNM itu, peratusan rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran mengumpulkan RM1,000 sebagai dana kecemasan meningkat kepada 61 peratus pada 2024 berbanding 47 peratus pada 2021.

Bagaimanapun, hanya 37 peratus rakyat Malaysia mampu menampung kos sara hidup melebihi tiga bulan sekiranya kehilangan pendapatan, berbanding 36 peratus pada 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, pendidikan kewangan perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang lebih bijak mengurus kewangan.

Beliau berkata, pemahaman awal mengenai nilai wang, kepentingan menyimpan dan asas pelaburan dapat membantu golongan muda membuat keputusan kewangan lebih baik apabila memasuki alam dewasa.

Beliau turut berkata, sambutan terhadap pelbagai program pendidikan kewangan yang dianjurkan sebelum ini menunjukkan minat masyarakat Sarawak untuk mempelajari aspek pengurusan kewangan, menyimpan dan melabur.

Sehubungan itu, ASNB memperkenalkan Kempen Juh, Melabur Menang Mas khusus untuk rakyat Sarawak yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember ini.

Menerusi kempen itu, setiap pelaburan bersih terkumpul sebanyak RM5,000 yang dibuat dan dikekalkan sehingga tamat tempoh kempen melayakkan peserta menerima satu penyertaan automatik untuk cabutan bertuah, tertakluk kepada terma dan syarat.

BBerkaitan

Latest articles