Lelaki Didakwa Fitnah Tok Batin Dalam Live TikTok Direman Empat Hari

TAPAH: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memfitnah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu menerusi siaran langsung yang tular di platform TikTok.

Perintah reman sehingga 15 Jun itu dikeluarkan Majistret Nurul Hidayu Zakaria selepas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah kira-kira jam 8.50 pagi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim memaklumkan suspek diberkas di sebuah kediaman di Ipoh sekitar jam 1 tengah hari semalam susulan 11 laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Lelaki terbabit mencetuskan kontroversi selepas muncul dalam satu siaran langsung TikTok yang mendakwa Tok Batin Mohd Asmmadi Abdullah kononnya ‘menyimpan’ pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, selama dua minggu.

Malah, dia turut membuat tuduhan bahawa Tok Batin berkenaan akan berkahwin dengan wanita itu sekiranya perkara tersebut tidak menjadi tular.

Susulan kecaman pelbagai pihak, suspek kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Terdahulu, Jaslinda, 49, ditemui selamat oleh penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu pada Sabtu lalu selepas dilaporkan hilang selama 14 hari ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei.

BBerkaitan

Latest articles