SUBANG JAYA: Tindakan seorang lelaki tempatan menceroboh masuk ke sebuah rumah dalam keadaan tidak waras membawa padah apabila dia ditahan pihak polis di kawasan USJ, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar memaklumkan, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu kini direman selama tiga hari sehingga 25 April bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut selepas satu video tular di media sosial memaparkan aksi lelaki berkenaan yang memasuki sebuah rumah secara tidak sah.
“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 22 April lalu dan rakaman tersebut telah dimuat naik menerusi aplikasi Threads. Suspek bagaimanapun berjaya ditahan pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.










