Lebih 52,000 Wanita Terima Manfaat Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM

SERI ISKANDAR: Seramai 52,410 usahawan wanita di seluruh negara telah memanfaatkan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang dilancarkan sejak 1 September tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, karnival yang memberi peluang kepada golongan wanita itu mendapat sambutan menggalakkan selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik Covid-19.

Untuk rekod, Program Keusahawanan Wanita Bangkit terbuka kepada semua anggota masyarakat, termasuk wanita yang mencari pekerjaan serta menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Inisiatif untuk menganjurkan program berbentuk keusahawanan ini adalah sebagai komitmen membawa wanita-wanita Malaysia berdikari dalam menjana pendapatan, untuk membantu memperkasakan ekonomi keluarga dan diri sendiri seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.


“Ia diinspirasikan ketika dalam fasa pandemik COVID-19. Ia diilhamkan untuk membawa kaum wanita bangkit daripada kesukaran, bangun daripada rebah, dan berdikari dengan menjana pendapatan melalui peluang kerjaya atau menyertai bidang keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM, hari ini.

Ujar Rina, pihaknya mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk industri, syarikat korporat, NGO dan pihak swasta yang ingin menjadi rakan strategi dalam mencapai maksud Wanita Bangkit, dengan memberi manfaat seperti peluang pendapatan kepada golongan sasar wanita.

BBerkaitan

Latest articles