ISKANDAR PUTERI: Stadium Tertutup Kompleks EduCity hari ini bertukar menjadi ‘lautan biru’ apabila dibanjiri ribuan penyokong bagi menyaksikan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Johor.
Kehadiran luar biasa jentera daripada pelbagai parti komponen itu jelas menterjemahkan momentum dan kesiapsiagaan solidariti BN di peringkat akar umbi.
Suasana di pekarangan stadium mula gamat seawal jam 3.00 petang dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan flashmob serta laungan semangat daripada kumpulan sorak ‘Boys of BN’.
Kemuncak kemeriahan acara luar stadium menyaksikan ketibaan Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang diiringi perarakan hebat pemuda bermotor.
Majlis yang berlangsung di dalam stadium itu turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti komponen termasuk Pengerusi MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Pengerusi MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; dan Pengerusi PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Acara kemuncak gimik pelancaran rasmi oleh Ahmad Zahid, selain Majlis Penyerahan Negeri Angkat dan pelancaran lagu tema BN Johor sebelum majlis bersurai pada jam 6.00 petang.
Semalam, Pakatan Harapan (PH) Johor terlebih dahulu melancarkan jentera pilihan raya mereka yang disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat.










