Lari Ke NZ Mohon Suaka, Pengikut Si Hulk Kena Buktikan Dakwaan Berlaku Penganiayaan Agama

KUALA LUMPUR: Kira-kira 150 pengikut ajaran Si Hulk dan ahli keluarga mereka kini berada di New Zealand selepas tiba di negara itu sejak bulan lalu.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Perniagaan Malaysia New Zealand, Dave Ananth, seperti mana memetik temubualnya bersama FMT, hari ini.

Katanya, kumpulan itu mahu memohon perlindungan suaka atas sebab agama.

“Mereka tiba pada bulan lalu dan memohon pertolongan dan bantuan kewangan daripada Kementerian Pembangunan Sosial (MSD) New Zealand,” katanya.

Terlebih dahulu ajaran Si Hulk diisytiharkan sebagai sesat oleh jabatan agama Islam.

Pada 25 Julai lalu, jawatankuasa fatwa Perak mengisytiharkan ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad sebagai sesat.

Pada 2021, jawatankuasa fatwa Johor dan Melaka juga mengisytiharkan ajaran Si Hulk sebagai sesat, dan fahaman mereka bertentangan dengan kepercayaan Islam.

Ananth, yang merupakan pbekas majistret di Malaysia dan kini menjadi peguam di New Zealand bagaimanapun berpandangan, kumpulan itu tidak layak mendapat perlindungan suaka atas alasan penganiayaan agama.

Di samping itu kumpulan berkenaan dipercayai cuba mengeksploitasi kejujuran dan kepercayaan pihak berkuasa New Zealand.

“Mereka mengambil kesempatan daripada sistem,” katanya.

Ananth menambah, sekiranya benar seperti yang didakwa, pengikut ajaran Si Hulk
perlu mengemukakan bukti berlaku penganiayaan agama terhadap kumpulan mereka.

“Kamu tak boleh hanya datang ke sini dan berkata ‘saya mangsa penganiayaan agama’. Islam adalah agama rasmi Malaysia dan negara itu dihormati sebagai negara yang berfahaman sederhana. Saya tidak percaya berlakunya penganiayaan agama ketika agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka dengan harmoni,” katanya.

Ananth berkata beliau berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang berhubung dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan polis Malaysia.

Katanya, kedatangan kumpulan itu membimbangkan pihak berkuasa Wellington yang tidak mahu program perlindungan pelarian mereka disalahguna.

Menurutnya, komuniti Islam Malaysia dan Singapura di negara itu juga bimbang dengan kehadiran kumpulan tersebut.

Katanya, kumpulan dikenali sebagai Keluarga Kiwi menghantar surat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington bagi mendesak “menggunakan kuasa dalam undang-undang untuk menghalang ajaran Si Hulk”.

Ananth berkata beliau tidak mahu imej Malaysia di New Zealand tercemar, tambahnya tiada alasan untuk rakyat Malaysia datang ke negara itu bagi mendapatkan perlindungan suaka politik atau agama.

BBerkaitan

Latest articles