‘Datang Seminggu Sekali’ – Sultan Selangor Tegur Siew Ki, Ronnie Hayati Rukun Negara

KUALA LUMPUR: “Datang seminggu sekali.” Demikian titah tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah yang secara khusus menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya hadir ke Dataran Selangor bagi membaca, memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara.

Menerusi kenyataan media Istana Alam Shah, baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat terutama generasi muda serta pemimpin politik menjadikan Rukun Negara sebagai asas utama dalam memelihara perpaduan dan keharmonian negara.

Titah itu dizahirkan selepas baginda berangkat ke Dataran Selangor (Selangor Square) bagi meninjau sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhampiran Tiang Bendera Negeri Selangor.

Menurut baginda, monumen berkenaan dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala kos pembinaannya ditanggung sepenuhnya oleh baginda sendiri.

Sultan Selangor bertitah, pembinaan plak itu bertujuan mengingatkan rakyat terhadap sejarah kelahiran Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 serta usaha Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) merangka ideologi kebangsaan demi memperkukuh perpaduan rakyat.

“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut menyeru semua wakil rakyat di Selangor agar hadir ke lokasi itu sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi memahami makna sebenar Rukun Negara yang terpahat pada monumen berkenaan.

Titah itu turut menegaskan kepentingan rakyat menghormati kedaulatan Institusi Raja selain menjaga adab, kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Kenyataan media itu turut disertakan penegasan prinsip “Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam” serta “Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara” sebagai peringatan kepada semua pihak.

BBerkaitan

Latest articles