Laporan RCI Tabung Haji Didakwa Berunsur Politik – Hamzah

​SEREMBAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa tindakan mengeluarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) selepas tempoh yang lama, mempunyai tujuan politik semata-mata.

​Menurut beliau, laporan berkenaan telah disimpan selama tiga tahun sebelum ia dikeluarkan baru-baru ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional menangguhkannya untuk tempoh yang begitu panjang.

​”RCI ini telah disimpan selama tiga tahun. Mengapa ia perlu disimpan begitu lama dan hanya dikeluarkan baru-baru ini?

“Ini menunjukkan pasti ada sesuatu yang bertujuan untuk politik semata-mata dan bukannya mengenai RCI itu sendiri.

​”Kami akan meneliti perkara ini secara serius dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi kelak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Mega ‘Birukan Negeri Sembilan’, malam tadi.

​Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai impak pendedahan laporan RCI TH terhadap peluang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.

​Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai dakwaan penyiasatan yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO, Hamzah yakin bahawa isu tersebut tiada kaitan dengan parti berkenaan secara keseluruhan.

​Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun menegaskan bahawa kes itu hanya melibatkan individu tertentu dan tidak sewajarnya dikaitkan dengan imej parti.

​”Ia tiada kaitan dengan UMNO. Ini hanya melibatkan individu yang berkaitan. Jangan cipta persepsi seolah-olah UMNO yang menimbulkan masalah ini,” katanya.

​Mengulas lanjut, beliau turut membandingkan isu tersebut dengan kes syarikat e-dagang akuakultur, eFishery, di mana pihak berkuasa mendakwa kerajaan telah ditipu dalam urusan berkenaan.

​”Apabila kita bertanyakan soalan ini, jawapan yang diberikan amat mudah iaitu mereka telah ditipu. Perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kami akan meneliti perkara ini dan memberikan maklum balas apabila tiba masanya,” tambah beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan penyahklasifikasian Laporan RCI TH dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sebarang salah guna kuasa, penyelewengan, atau penyalahgunaan dana secara telus hingga ke akar umbi.

​Mengulas mengenai dakwaan berhubung kelewatan pendedahan laporan berkenaan, Anwar menjelaskan penahanan itu pada awalnya dilakukan untuk menjaga kestabilan kewangan TH dan meyakinkan semula para pendeposit.

​”Laporan Tabung Haji yang kita bincangkan tadi baharu sahaja dikeluarkan. Mereka cabar saya sebelum ini, kata ‘Anwar, kalau berani, terbitkan laporan Tabung Haji’. Jawapan saya: Ini dia, bacalah.

​”Kebimbangan kita pada waktu itu adalah pengeluaran simpanan secara beramai-ramai oleh pendeposit. Sekarang saya rasa Tabung Haji telah menemui tapak yang kukuh, dan saya tidak ada sebarang keberatan untuk mendedahkan serta menyebarkannya,” kata beliau.

​Anwar turut menegaskan bahawa sebarang dapatan atau salah guna kuasa yang dikenal pasti dalam laporan itu akan diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Bank Negara Malaysia (BNM).

​”Jika ada bukti, mereka akan dituduh, dibawa ke mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, akan dihukum. Itu adalah kedaulatan undang-undang di negara ini.

​”Saya tidak akan menghukum atau menuduh sesiapa terlebih dahulu. Biarlah polis, SPRM dan Bank Negara menjalankan siasatan,” tambah Perdana Menteri.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Temu Anwar di Seremban, selain mengesahkan kerajaan bercadang mengadakan sidang khas Parlimen secepat mungkin bagi membahaskan laporan RCI berkenaan secara terbuka.

BBerkaitan

Latest articles