KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neo Choo Seong mengakui keputusannya menyertai MCA bukanlah satu pilihan yang mudah, namun percaya pengorbanan yang dilakukan hari ini penting bagi memastikan masa depan negara terus berada di landasan yang betul.
Dalam satu audio siar yang diterbitkan oleh Utusan TV, beliau berkata kehidupan sebagai seorang diplomat dan penjawat awam sebelum ini jauh lebih selesa berbanding cabaran yang perlu dihadapi dalam dunia politik.
Menurutnya, penglibatan dalam politik memerlukan pengorbanan besar termasuk turun ke lapangan, berdepan kritikan serta menerima pelbagai persepsi masyarakat yang tidak semestinya berpunca daripada kesilapan sendiri.
“Dia jalan yang sukar pasti kerana saya mempunyai kehidupan yang jauh lebih selesa sebagai seorang diplomat, sebagai seorang penjawat awam. Tidak perlu begitu susah payah turun ke lapangan, kadang-kadang kita juga dimarah.
“Kita dicaci bukan disebabkan kesilapan kita tetapi persepsi orang. Itu kita tidak boleh salahkan mereka kerana kita sebuah negara yang demokratik,” katanya.
Neo berkata beliau mengakui perjalanan politik yang dipilihnya penuh cabaran, namun perkara yang lebih membimbangkan adalah hala tuju negara pada masa hadapan.
Katanya, walaupun sukar dan mencabar, perjuangan tersebut perlu diteruskan demi memastikan generasi akan datang tidak berdepan kesukaran yang lebih besar.
“Sebab itu saya kata walaupun susah, walaupun sulit, perjalanan ini perlu diteruskan. Kalau kita tidak susah, mungkin satu hari nanti anak-anak kita akan susah.
“Lebih baik kita sama-sama susah sekarang memikirkan bagaimana kita mahu membawa semula negara ini kembali ke landasan yang betul,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada usia 40-an, fokus kehidupannya kini bukan lagi tertumpu kepada kepentingan peribadi, sebaliknya lebih kepada tanggungjawab terhadap masa depan negara dan generasi seterusnya.
“Pada usia saya yang sudah masuk 40-an ini, saya sudah tidak begitu memikirkan tentang diri saya. Saya sudah separuh usia dan apa yang saya buat ini bukan lagi untuk diri saya, tetapi untuk masa depan negara serta anak cucu kita,” katanya.
Kenyataan itu menggambarkan komitmen beliau untuk terus terlibat dalam perjuangan politik meskipun berdepan pelbagai cabaran, atas keyakinan bahawa pengorbanan hari ini penting bagi membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.










