KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh melempar sindiran terbuka susulan pengumuman kerajaan Madani yang mengembalikan kelayakan asas kuota subsidi BUDI RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Pengumuman berkenaan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengesahkan kerajaan bersetuju meningkatkan semula kadar kuota asas berkenaan demi manfaat pengguna.
Menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin, Dr Akmal mengkritik pergerakan dasar itu yang disifatkan seolah-olah mahu mengangkat pimpinan kerajaan sebagai ‘hero’ selepas menukar semula keputusan asal.
“Dia yang mewujudkan kuota, dia juga yang menurunkan kuota, dia juga yang menaikkan semula kuota.
“Dan dia jugalah yang mengangkat diri sendiri sebagai hero,” katanya.
Dalam hantaran sama, Dr Akmal turut menyertakan tangkapan layar dua laporan berita sebagai perbandingan.
Laporan pertama bertarikh 25 Jun memaparkan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa kurang satu peratus pengguna menggunakan RON95 melebihi 200 liter sebulan.
Ia berbanding laporan terkini semalam yang memaparkan pengumuman Anwar mengenai pelarasan semula kuota BUDI RON95 kepada 300 liter sebulan.
Mengulas lanjut, beliau turut mempertikaikan kebolehpercayaan kajian awal yang pernah dikemukakan kerajaan berhubung jumlah penggunaan bahan api rakyat.
“Nak tanya, kajian yang menyatakan hanya 1 peratus sahaja guna minyak melebihi 200 liter sebulan itu tidak terpakai ke apa? Atau dah berubah akibat Pilihan Raya Negeri (PRN)?
“Apa pun, terima kasih hero!,” sindir beliau.










