Krisis Istana Negeri Sembilan: DKU Mohon Campur Tangan Dalam Kes Singkir Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR: Kemelut membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memasuki perkembangan baharu apabila Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) memohon untuk mencelah dalam prosiding mahkamah berkaitan usaha menyingkirkan baginda.

Permohonan itu turut dikemukakan bersama Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, yang mahu kedua-duanya dijadikan pihak dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.

Permohonan mencelah difailkan pada 6 Ogos lalu, termasuk bagi mendapatkan keseluruhan dokumen prosiding daripada pihak yang memfailkan permohonan asal.

Kes itu dikemukakan oleh Undang Johol, Datuk Muhammed Abdullah, bersama Datuk Mubarak Thahak yang statusnya sebagai Undang Sungai Ujong dipertikaikan, serta dua bekas undang iaitu Datuk Maarof Mat Rashid dan Datuk Abd Rahim Yasin.

Mereka menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai responden dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan, berkata hakim mencadangkan pihak pemohon berbincang bagi menentukan sama ada kes itu wajar diteruskan di Kuala Lumpur atau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban.

Katanya, perkara itu disebabkan terdapat permohonan berkaitan yang sedang difailkan di Seremban.

Mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk pemohon memaklumkan perkembangan dan pendirian mereka mengenai lokasi prosiding.

Dalam permohonan mencelah itu, DKU dan Raja Norazli antara lain mendakwa empat pemohon asal tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk memulakan permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Mereka turut memaklumkan wujud permohonan komital terhadap pihak terbabit di Mahkamah Tinggi Seremban.

DKU dan Raja Norazli juga memohon supaya prosiding semakan kehakiman digantung sementara menunggu keputusan muktamad terhadap permohonan mencelah, bagi mengelakkan prosiding diteruskan sehingga menjadi sia-sia atau bersifat akademik.

Sementara itu, dalam afidavit permohonan asal, pemohon mendakwa mereka menghadiri mesyuarat DKU yang dipengerusikan Tuanku Muhriz pada 5 Mac lalu.

Mesyuarat itu dikatakan menjadi tegang selepas Mubarak membangkitkan beberapa dakwaan berkaitan pelanggaran adat sebelum empat individu terbabit meninggalkan mesyuarat dan berkumpul di Balai Undang Sungai Ujong.

Mereka kemudian didakwa membincangkan dakwaan berhubung kesalahan serta pelanggaran adat dan membuat kesimpulan bahawa Tuanku Muhriz tidak lagi layak memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Antara relif yang dimohon ialah perintah mandamus bagi memaksa Menteri Besar menandatangani dokumen pemasyhuran yang didakwa bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz.

Mereka turut memohon supaya Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, selain mendapatkan pengisytiharan bahawa dokumen pemasyhuran yang ditandatangani pada 19 April lalu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles