KPM Dahului Jadual Siapkan Projek Sekolah, 10 Sekolah Model Setiap Daerah Pacu Reformasi Pendidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sebahagian besar projek infrastruktur bagi menyokong kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun pada sesi persekolahan 2027 berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan sekolah menjelang pelaksanaan dasar itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan kemudahan sekolah berada pada tahap terbaik sebelum sesi persekolahan bermula tahun hadapan.

Menurutnya, selain menyiapkan infrastruktur, KPM turut memperincikan persiapan melibatkan penempatan guru serta keperluan lain berdasarkan unjuran pendaftaran murid bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

“Sebahagian projek telah siap lebih awal daripada jadual dan ini memberi keyakinan bahawa persediaan untuk menerima murid berusia enam tahun berada di landasan yang baik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, walaupun perancangan bagi sesi persekolahan 2027 hampir dimuktamadkan, kementerian masih menerima pertanyaan dan permohonan pendaftaran daripada ibu bapa, sekali gus mencerminkan keyakinan mereka terhadap pelaksanaan dasar tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan Dewan Rakyat bahawa KPM sedang menyediakan 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara Contract of Service (COS) bagi menampung kemasukan dua kohort murid Tahun Satu pada 2027.

Setakat ini, sebanyak 73,386 permohonan diterima bagi kanak-kanak berusia enam tahun, manakala pendaftaran murid berusia tujuh tahun mencecah 405,033 orang.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina mengumumkan KPM akan memilih 10 sekolah di setiap daerah sebagai sekolah model bermula minggu depan bagi mempercepatkan agenda reformasi pendidikan.

Beliau berkata, lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah terbaik di setiap daerah akan dijadikan contoh dalam usaha membentuk budaya kerja, ekosistem pembelajaran dan kualiti penyampaian pendidikan yang lebih cemerlang.

Menurutnya, reformasi pendidikan bukan sekadar menaik taraf kemudahan fizikal seperti memasang penyaman udara atau papan pintar di bilik darjah, sebaliknya memerlukan perubahan menyeluruh terhadap budaya kerja, cara berfikir serta profesionalisme seluruh warga sekolah.

“Reformasi sebenar ialah apabila budaya, ekosistem dan mentaliti warga sekolah berubah ke arah yang lebih baik demi meningkatkan kemenjadian murid dan mengangkat martabat institusi pendidikan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles