KPDN Pantau 2,170 Premis Setiap Hari, Pastikan Peniaga Kecil Tidak Terbeban

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau harga 316 barangan di 2,170 premis perniagaan setiap hari bagi memastikan tiada kenaikan harga tidak munasabah atau pencatutan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemantauan itu dilaksanakan oleh 850 pegawai pemantau harga yang turut meneliti pelbagai komponen kos sepanjang rantaian bekalan.

Menurutnya, antara faktor yang diambil kira ialah kos bahan mentah, operasi dan pengangkutan bagi memastikan harga yang ditawarkan peniaga kepada pengguna adalah wajar.

“Bukan sahaja berkala, pihak kementerian mengawal setiap hari, memeriksa harga ini setiap hari melalui program pemantau harga.

“Setiap hari kita akan dapat laporan berkenaan harga yang ditawarkan dan pihak kementerian boleh mendapat akses kepada semua kos itu, daripada kos bahan mentah, kos operasi dan kos pengedaran,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Sri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai cadangan mewujudkan mekanisme penilaian kos operasi secara berkala dengan mengambil kira faktor jarak, pengangkutan, penyimpanan dan jumlah pembelian bagi memastikan peniaga kecil di kawasan luar bandar tidak terjejas akibat dasar penetapan harga seragam.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, kementerian mengambil kira semua elemen kos dalam menentukan harga sesuatu barangan.

Katanya, perbezaan struktur kos antara peniaga kecil di kawasan pedalaman dengan rangkaian pasar raya besar turut diberikan perhatian kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan cabaran berbeza.

“Pasar raya besar dapat menikmati economies of scale apabila mereka boleh membeli secara pukal dan kerana itu harga yang dibeli secara borong lebih murah.

“Peruncit kecil, terutamanya di kawasan pedalaman, bukan sahaja tidak dapat menikmati economies of scale, malah terpaksa menanggung kos logistik untuk membawa barang ke kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira faktor lain seperti kos bahan mentah import, kadar pertukaran mata wang, rantaian bekalan global, perubahan iklim dan konflik antarabangsa yang boleh mempengaruhi harga barangan.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, kerajaan melaksanakan beberapa program subsidi bagi menangani perbezaan kos logistik, khususnya di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman.

Antaranya, Program Penyeragaman Harga dengan peruntukan RM67 juta bagi pengangkutan barangan secara port-to-port dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Program Pengedaran Barang Perlu menerima peruntukan RM250 juta bagi 2026 dan jumlah sama bagi 2027, melibatkan 828 kawasan pengedaran.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM3.5 bilion pada 2025 untuk Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang melibatkan 30,000 kenderaan membawa barang keperluan pengguna.

“Jadi kita ambil kira kos logistik, kos bahan mentah dan struktur kos peniaga kecil serta rangkaian pasar raya,” katanya.

Beliau menambah, pemantauan harian membolehkan kementerian mengenal pasti kenaikan harga yang tidak wajar dan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

BBerkaitan

Latest articles