Kebajikan DAK Di Zoo Tennoji Semakin Membimbangkan, Aktivis Desak Tindakan Segera

KUALA LUMPUR: Nasib tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, terus menjadi perhatian apabila pemantauan aktivis mendapati kebajikan haiwan berkenaan didakwa semakin terjejas.

Kebimbangan itu disuarakan aktivis hak asasi haiwan, Dr Siti Rabiah Raws bersama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), yang telah menjalankan pemantauan terhadap ketiga-tiga gajah berkenaan sejak tujuh bulan lalu.

Menurut Dr Siti Rabiah, pemerhatian berkala termasuk lawatan secara langsung ke zoo berkenaan baru-baru ini menunjukkan keadaan DAK memerlukan perhatian serius dan tindakan segera.

Bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai tahap kesihatan haiwan berkenaan, beliau turut mendapatkan khidmat doktor veterinar yang mempunyai kepakaran dalam tingkah laku haiwan untuk melakukan pemeriksaan terperinci.

Penilaian klinikal itu dijangka menghasilkan laporan veterinar lengkap yang akan didedahkan dalam masa terdekat.

Isu berkenaan turut dibawa ke peringkat diplomatik apabila Dr Siti Rabiah bersama Presiden PERKAM, Prof Dr Santharasegaran Subramaniam, bertemu Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani, di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo pada 20 November lalu.

Pertemuan itu antara lain bertujuan memaklumkan perkembangan terkini mengenai DAK serta mendapatkan perhatian terhadap langkah intervensi yang perlu dilaksanakan bagi melindungi kebajikan haiwan berkenaan.

Dr Siti Rabiah berpandangan, peranan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara perlu turut merangkumi perlindungan terhadap hidupan liar negara yang ditempatkan di negara lain, selain tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, hidupan liar merupakan aset dan khazanah negara yang tidak seharusnya terlepas daripada perhatian serta perlindungan hanya kerana berada di luar sempadan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau dan PERKAM bertekad meneruskan pemantauan terhadap DAK serta menggesa pihak berkaitan mengambil langkah bersesuaian tanpa berlengah bagi menangani kebimbangan terhadap keadaan ketiga-tiga gajah itu.

BBerkaitan

Latest articles