KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hampir kecoh apabila Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika sesi soal jawab mengenai penyelenggaraan lampu jalan dan kecurian kabel.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian menegur beliau supaya mengemukakan soalan yang berkaitan dengan isu asal.
“Kampar, ini kabel Kampar,” katanya ketika mencelah soalan tambahan berkenaan pada Isnin.
Bagaimanapun, Chong mempertahankan tindakannya dengan menjelaskan isu 1MDB yang dibangkitkan mempunyai kaitan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Beliau mempersoalkan jumlah kerugian bersih kerajaan akibat skandal 1MDB yang didakwanya mencecah RM20 bilion dan mengaitkannya dengan janji Pakatan Rakyat pada 2013 untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan.
Chong turut meminta timbalan menteri itu membuat pengiraan berapa tahun kerajaan mampu membayar kos Lebuhraya Utara-Selatan sekiranya wang RM20 bilion itu tidak dibelanjakan akibat skandal berkenaan.
Ahmad kemudian menjelaskan isu 1MDB berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan bukannya KKR.
“1MDB Kementerian Kewangan. Saya rasa Kampar tersilap, dia fikir saya masih Timbalan Menteri Kewangan,” katanya.
Ahmad bagaimanapun melayan pertanyaan itu dengan meminta Chong membuat pengiraan mudah menggunakan jumlah RM20 bilion dibahagikan dengan anggaran RM4 bilion setahun.
Keadaan kemudian menyaksikan Johari sekali lagi mengingatkan Ahli Parlimen supaya mengemukakan soalan yang khusus mengikut kementerian yang menjawab.
“Bila kita ada soalan-soalan jawab lisan, kita spesifik kepada kementerian-kementerian.
“Jadi nak jawab semua ini, tak payah menteri-menteri jawab. Kita panggil Menteri Kewangan saja,” katanya.
Selepas perdebatan ringkas itu, Ahmad meneruskan jawapannya dengan memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM35.25 juta pada 2026 bagi pemasangan lampu jalan dan lampu solar di 379 lokasi.
Menurutnya, peruntukan lebih RM30 juta bagi lebih 300 lokasi turut dijangka disediakan pada 2027.
Beliau berkata, lampu solar berharga kira-kira RM10,000 seunit berbanding lampu konvensional yang menelan kos antara RM4,000 hingga RM5,000 seunit.
Katanya, pemasangan lampu solar lebih sesuai di kawasan yang berdepan risiko vandalisme, kawasan kampung serta lokasi yang jauh daripada jaringan bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Lampu solar ini untuk kawasan yang terlibat vandalisme, untuk kawasan kampung dan kawasan yang jauh daripada grid TNB.
“Ahli-ahli Yang Berhormat yang nak mohon lampu solar ini, silalah tulis surat untuk buat permohonan. Kita akan beri keutamaan kepada kawasan-kawasan yang terlibat kemalangan,” katanya.










