Kutipan Cukai Minimum Global Hanya Diperoleh Selepas Jun 2027

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka hanya memperoleh kutipan hasil daripada pelaksanaan cukai minimum global (GMT) selepas Jun 2027, meskipun dasar percukaian antarabangsa itu mula berkuat kuasa di Malaysia sejak 1 Januari 2025.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, tempoh berkenaan mengambil kira tempoh pelaporan kewangan kumpulan syarikat multinasional yang tertakluk kepada pembayaran cukai tokokan atau top-up tax.

Menurutnya, tarikh akhir pengemukaan dan pembayaran cukai berkenaan adalah 18 bulan selepas tamat tempoh penyata kewangan disatukan.

“Pelaksanaan GMT dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara. Namun, kutipan hasil cukai di bawah GMT hanya akan diperoleh selepas Jun 2027,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah kutipan cukai minimum global sejak pelaksanaannya pada 2025 serta sama ada kadar cukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dikurangkan kepada 15 peratus.

Mengulas lanjut, Liew berkata, GMT diperkenalkan bagi memastikan kumpulan syarikat multinasional besar yang mempunyai hasil pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro setahun membayar cukai pada kadar efektif minimum 15 peratus di setiap negara mereka beroperasi.

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bersama negara anggota G20 itu bertujuan menangani amalan pengagihan keuntungan ke negara yang mengenakan kadar cukai rendah atau sifar.

“Keadaan ini telah menyumbang kepada penghakisan asas cukai dan kehilangan hasil cukai kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan PMKS sebanyak satu mata peratusan bermula tahun taksiran 2027.

Jelasnya, kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama dikurangkan daripada 15 kepada 14 peratus, manakala pendapatan bercukai RM150,001 hingga RM600,000 diturunkan daripada 17 kepada 16 peratus.

“Pengurangan kadar cukai ini dijangka memberi penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada PMKS, membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan akhirnya dapat meningkatkan aliran tunai syarikat,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Lim mengenai pemberian insentif cukai atau pengecualian cukai (tax holiday) sehingga 15 tahun kepada syarikat asing yang didakwa menjejaskan industri keluli tempatan, Liew berkata, kerajaan telah memperkenalkan Kerangka Insentif Baharu (NIF) bermula 1 Mac 2026.

Lim mendakwa penguasaan industri besi dan keluli tempatan yang sebelum ini dikuasai 85 peratus oleh pengusaha Malaysia pada 2016 kini beralih kepada 85 peratus pengusaha asing.

Beliau turut membangkitkan nasib syarikat keluli tempatan termasuk Malaysia Steel Works (Masteel) yang didakwa masih bertahan dalam industri berkenaan.

Mengulas perkara itu, Liew berkata, menerusi NIF, semua pelaburan perlu dinilai berdasarkan sistem kad skor (scorecard) yang mengambil kira beberapa kriteria termasuk kerumitan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

“Dalam enam scorecard ini, kalau syarikat mendapat penilaian yang mematuhi apa yang diperlukan, barulah insentif diberikan.

“Dengan New Incentive Framework, kerajaan berharap keadaan yang disebutkan oleh Yang Berhormat Bagan ini tidak berulang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles