Kematian Di Gig Diklasifikasi Kes Bunuh, 10 Ditahan

MELAKA: Polis menahan 10 individu bagi membantu siasatan kematian seorang penghantar barang berusia 21 tahun yang mengalami kecederaan serius di belakang kepala ketika menghadiri persembahan muzik atau gig di sebuah kafe di Kampung Jawa.

Kes yang pada awalnya disiasat sebagai kes mendatangkan kecederaan parah itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.53 petang Rabu lalu.

Ketua Polis Melaka Tengah, Halim Abas, berkata siasatan pada mulanya dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 kanun sama.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian pada 17 Oktober lalu sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berikutan kecederaan serius yang dialaminya, namun disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Halim berkata, 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan persembahan muzik yang berlangsung di kafe berkenaan dipercayai dianjurkan tanpa permit polis atau kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran acara itu,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Difahamkan, insiden berlaku ketika mangsa melakukan aksi mosh atau tendangan berputar ketika persembahan muzik berlangsung sebelum pergerakannya tersasar dan menyebabkan dia terjatuh serta mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, punca sebenar kecederaan yang membawa kepada kematian mangsa masih dalam siasatan polis.

BBerkaitan

Latest articles