Sultan Bukan Untuk Berkuasa, Tetapi Berkhidmat Kepada Rakyat – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: Kepentingan rakyat, integriti dan perpaduan mesti terus menjadi asas pemerintahan, manakala jawatan Sultan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya amanah suci yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Itu penegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berharap legasi pemerintahan baginda merangkumi kemajuan negeri, institusi yang kukuh dan keharmonian sosial demi kesejahteraan generasi akan datang.

Baginda bertitah, tempoh pemerintahan selama 25 tahun akan dianggap bermakna sekiranya rakyat dan generasi akan datang percaya bahawa tanggungjawab sebagai pemerintah telah dilaksanakan dengan penuh amanah serta mengutamakan kepentingan mereka.

“Beta percaya sepanjang 25 tahun lalu, walaupun berlaku perubahan dalam kepemimpinan, kita sudah membina legasi institusi kukuh, keharmonian sosial, tadbir urus bertanggungjawab dan peluang untuk generasi akan datang,” titah baginda dalam wawancara khas sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin bertitah, bangunan dan infrastruktur mungkin berubah mengikut peredaran masa, namun nilai, kepercayaan dan perpaduan merupakan legasi yang mampu bertahan lebih lama.

Mengulas pesanan kepada generasi pemerintah dan pemimpin akan datang, baginda menegaskan kepemimpinan perlu sentiasa dilihat sebagai amanah, bukannya ruang untuk mengejar kepentingan peribadi.

“Sentiasalah ingat kepemimpinan ialah amanah. Dengar dahulu sebelum membuat keputusan, kekal merendah diri tidak kira sejauh mana kejayaan dikecapi, menjunjung Perlembagaan dengan penuh kesetiaan dan jangan sekali-kali melupakan rakyat yang menjadi tanggungjawab untuk kita berkhidmat kepada mereka,” titah baginda.

Baginda turut menyifatkan rakyat Selangor sebagai sumber inspirasi terbesar yang mengukuhkan tekadnya untuk terus berkhidmat kepada negeri itu.

Menurut baginda, melihat masyarakat mengharungi cabaran, golongan muda mencapai kejayaan dan keluarga membina kehidupan lebih baik mendorong baginda untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

Menyentuh masa depan institusi diraja Selangor, Sultan Sharafuddin menegaskan jawatan Sultan yang bakal dipikul putera baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bukan sekadar kedudukan yang memberikan keistimewaan.

Sebaliknya, baginda bertitah, institusi diraja diwujudkan untuk berkhidmat kepada rakyat serta menjunjung Perlembagaan dengan kebijaksanaan, keadilan dan integriti.

Seorang pemerintah juga perlu lebih banyak mendengar daripada bercakap, mendapatkan nasihat individu berilmu dan berpengalaman serta membuat keputusan berlandaskan kepentingan negeri dan rakyat.

Baginda mengingatkan bahawa keteguhan prinsip dan keperibadian seseorang pemerintah akan benar-benar teruji apabila berdepan keputusan sukar.

Sultan Sharafuddin turut mengimbau pengalaman ketika berusia 22 tahun dan bergelar Raja Muda semasa peristiwa 13 Mei 1969, ketika ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, berada di luar negara.

“Ketika itu, beta masih muda dan seorang Pemangku Raja, tetapi beta terpaksa menjadi matang dengan cepat. Mujurlah beta dapat bergantung pada pemimpin lebih berusia dan bijaksana untuk mendapatkan nasihat,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan Tengku Amir Shah bahawa Selangor merupakan kediaman rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan budaya yang perlu dilayani secara adil tanpa sebarang diskriminasi.

“Seorang Sultan mesti menjadi lambang perpaduan untuk semua, dengan melayani setiap rakyat dengan penuh belas kasihan, bermaruah dan tidak berat sebelah,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, meskipun teknologi dan inovasi terus berkembang, prinsip integriti, kerendahan hati, penghormatan terhadap institusi serta komitmen terhadap khidmat kepada rakyat mesti terus dipertahankan.

Baginda turut mengingatkan bahawa tiada pemerintah mampu mencapai kejayaan secara bersendirian, justeru sikap merendah diri perlu diterjemahkan melalui tingkah laku, tutur kata dan tindakan.

Menurut baginda, kekuatan institusi beraja bergantung pada kepercayaan rakyat yang perlu dipelihara melalui pemerintahan berteraskan amanah dan tanggungjawab.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan keyakinan bahawa Tengku Amir Shah mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang demi Selangor, selain menyatakan kepercayaan terhadap masa depan negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles