Kerajaan Belum Rancang Akta Khusus Tangani Isu Perkauman, Agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menyatakan cadangan untuk memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani kesalahan berunsur perkauman dan agama seperti Maintenance of Racial Harmony Act 2025 di Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sebaliknya mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani perbuatan atau penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan kebencian, permusuhan dan ketegangan antara masyarakat.

“Kerajaan sentiasa memandang serius isu yang melibatkan keharmonian kaum dan agama serta mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani perbuatan atau penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan kebencian, permusuhan, ketegangan atau menjejaskan hubungan antara masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khusus untuk menangani kesalahan berunsur perkauman dan agama seperti Maintenance of Racial Harmony Act 2025 yang diperkenalkan di Singapura.

Ramkarpal turut mempersoalkan sama ada kerajaan melihat undang-undang sedia ada bagi tujuan berkenaan sebagai tidak memadai dan ketinggalan zaman.

Menurut Azalina, kerajaan turut mengambil perhatian terhadap perkembangan perundangan di negara lain, termasuk Singapura yang meluluskan Maintenance of Racial Harmony Act 2025 pada 4 Februari 2025 dan mula berkuat kuasa pada 15 September 2026.

“Akta berkenaan antara lain menggabungkan beberapa peruntukan sedia ada berkaitan perlindungan keharmonian kaum, memperuntukkan kesalahan berkaitan perkauman, mekanisme Restraining Order, pendekatan pemulihan komuniti serta langkah-langkah menangani pengaruh asing terhadap entiti berasaskan kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, sebarang cadangan berkaitan penggubalan undang-undang atau penambahbaikan dasar dalam aspek perpaduan dan keharmonian masyarakat boleh dikemukakan kepada Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, cadangan berkenaan boleh dikemukakan untuk penelitian dan pertimbangan sewajarnya.

BBerkaitan

Latest articles