Kongsi Gambar Bersama Muhyiddin, Syed Saddiq Ziarah Tanda Hormat

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memuatnaik satu gambar bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun berada dalam parti yang berlainan, Syed Saddiq berkata, beliau tetap mempunyai rasa hormat terhadap bekas perdana menteri itu.

“Saya percaya kepada bipartisan,” katanya merujuk mengenai kerjasama antara parti politik lain bagi memberi fokus berkhidmat demi rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pilihan raya sudah tamat, kini masa untuk fokus berkhidmat. Walaupun berada dalam parti berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin tetap kekal. Hormat kawan dan lawan.

“Dua jam berbual, mendapatkan perkembangan terkini selepas PRU15. Muhyiddin juga pengundi saya di Muar. Jasanya banyak,” katanya.

Dalam masa yang sama Syed Saddiq menegaskan, semua pihak perlu bersama membina Malaysia yang ditadbir dengan penuh integriti dan bermaruah.

“Sebuah negara yang mana semua rakyat Malaysia berasa (berada) di ‘rumah’. Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik.

“Kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil dengan pihak pembangkang yang tegas untuk membawa negara ke hadapan. Ini masa untuk fokus bina semula Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles