JOHOR BAHRU: DAP Johor mendakwa perkembangan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan petanda wujudnya kerjasama tidak rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), susulan beberapa pemimpin gabungan itu secara terbuka menggesa penyokong mengundi calon BN.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, tindakan PN yang tidak bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti seruan beberapa pemimpinnya supaya pengundi menyokong BN di kerusi tertentu, menimbulkan persoalan mengenai hubungan sebenar antara kedua-dua gabungan tersebut.
Menurut beliau, sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pernah membangkitkan kemungkinan berlakunya kerjasama BN-PN, namun dakwaan itu dinafikan oleh MCA.
“Bagaimanapun, hari ini kita melihat Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka meminta penyokong mereka mengundi BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.
“Perkembangan ini memberi gambaran bahawa dakwaan mengenai kerjasama antara BN dan PN bukan lagi sekadar andaian,” katanya selepas melawat Pusat Media PRN Johor, di sini, pada Ahad.
Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP Malaysia berkata, pengundi Johor perlu meneliti situasi politik semasa sebelum membuat pilihan pada hari pengundian.
Beliau mendakwa setiap undi yang diberikan kepada BN berpotensi memberi kelebihan kepada PN, justeru pengundi perlu memahami implikasi di sebalik perkembangan tersebut.
“Kita tidak mahu berlaku keadaan di mana pengundi membuat satu pilihan tetapi akhirnya menghasilkan keputusan yang berbeza daripada apa yang diharapkan,” katanya.










