KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap enam pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terbabit dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor, dengan proses penyingkiran dijangka diputuskan dalam tempoh 24 jam.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Bahagian Pendidikan Menengah bersama pihak pengurusan MRSM terbabit diarahkan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bagi mengambil tindakan mengikut dasar tegas ‘You Touch, You Go!’ yang tidak memberi ruang kepada sebarang bentuk buli.
Beliau menegaskan perbuatan pelajar senior membuli junior sama sekali tidak boleh diterima walaupun atas alasan mahu mendisiplinkan mangsa.
“Saya sudah berkali-kali mengingatkan bahawa sesiapa yang terbabit dengan buli tidak ada tempat di MRSM. Tiada kompromi dalam soal ini,” katanya menerusi hantaran video di media sosial, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, kes itu terbongkar selepas seorang ibu berkongsi di Threads mengenai anaknya yang mahu berpindah sekolah kerana tidak lagi mampu menanggung perbuatan buli yang dialami.
Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat keluarga mangsa, enam pelajar terbabit kini direman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bakri bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, beliau menggesa pelajar yang menjadi mangsa atau mengetahui kejadian buli supaya segera membuat laporan kepada pihak sekolah dan tidak berdiam diri.
Asyraf Wajdi turut memberi amaran kepada mana-mana pentadbir MRSM supaya tidak cuba menyembunyikan insiden buli kerana MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi dasar tersebut.
Beliau berkata, pendirian tegas itu selari dengan komitmen MARA memperkukuh usaha membanteras budaya buli di semua institusi pendidikannya, termasuk melalui pembangunan modul khas yang memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah, pengurusan emosi dan kesedaran sivik bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.










