Keluarga Siti Adawiyah Nafi Dakwaan Palsukan Dokumen Pengebumian, Sanggah Kenyataan JAIS

KUALA LUMPUR: Keluarga remaja perempuan yang dikaitkan dengan isu kelewatan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang tampil menafikan dakwaan mereka memalsukan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam serta menyanggah beberapa kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bapa Allahyarhamah Siti Adawiyah, Muhammad Hasrul Ghazali, 41, berkata beliau tidak pernah meminta Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam menguruskan jenazah anaknya seperti didakwa, sebaliknya keseluruhan proses memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan jenazah dikendalikan oleh Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) di Surau An-Nur, Taman Cempaka.

Menurutnya, beliau hanya hadir ke masjid berkenaan bagi mendapatkan permit pengebumian daripada seorang ahli jawatankuasa sebelum berlaku kekeliruan berkaitan dokumen yang perlu dibawa ke tanah perkuburan.

Katanya, selepas menunggu agak lama, beliau membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana dengan hanya membawa salinan borang berwarna putih dan kuning yang masih berada dalam simpanannya.

“Dalam peringkat awal, pihak tanah perkuburan membenarkan urusan pengebumian diteruskan. Namun tidak lama kemudian, saya dimaklumkan pengebumian perlu dihentikan selepas polis hadir kerana terdapat laporan dibuat terhadap saya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau mendakwa keluarga terpaksa menunggu lebih sejam sebelum permit berwarna biru dibawa oleh pihak masjid, sekali gus membolehkan jenazah dikebumikan.

Muhammad Hasrul turut menolak dakwaan kononnya beliau menggunakan dokumen palsu atau memalsukan tandatangan bagi mendapatkan kebenaran pengebumian.

“Saya hanya menggunakan dokumen asal yang diberikan pihak hospital. Jika benar ada permit atau tandatangan palsu, sila tunjukkan bukti,” katanya.

Beliau menjelaskan pihak hospital mengeluarkan empat salinan permit iaitu merah, putih, kuning dan biru, dengan salinan biru telah diserahkan kepada pihak masjid, manakala salinan putih dan kuning kekal dalam pegangannya.

Dalam masa sama, Muhammad Hasrul berkata beliau sehingga kini tidak pernah dihubungi oleh JAIS mahupun pihak Masjid Nurul Hidayah bagi mendapatkan penjelasan sebelum kenyataan rasmi berhubung insiden itu dikeluarkan.

Mengulas isu bayaran RM1,400 yang turut dibangkitkan, beliau berkata pihak masjid hanya memaklumkan caj itu akan dituntut terlebih dahulu daripada waris sebelum tuntutan semula dibuat kepada BKS memandangkan beliau merupakan ahli badan kebajikan berkenaan.

Sementara itu, datuk Allahyarhamah, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan dakwaan JAIS bahawa beliau enggan membenarkan pihak masjid menguruskan jenazah cucunya.

Sebaliknya, beliau berkata tiada wakil masjid hadir menawarkan bantuan sepanjang urusan memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles