Kongres PKR Jadi Medan ‘Bedah Siasat’ Kekalahan Dua PRN

PUTRAJAYA: Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung hujung minggu ini dijangka memberi tumpuan kepada sesi post-mortem keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, termasuk menilai kelemahan parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengarah Komunikasi PKR yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kongres berkenaan diadakan bagi memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengikut perlembagaan parti, selain menjadi platform kepada perwakilan membincangkan pelbagai isu strategik.

Menurut beliau, perwakilan khususnya dari Johor dan Negeri Sembilan dijangka membawa pelbagai pandangan serta penilaian berhubung prestasi parti dalam kedua-dua PRN berkenaan.

“Sudah pasti perwakilan dari Johor dan Negeri Sembilan akan membangkitkan isu-isu berkaitan apa yang telah disaksikan dalam PRN, bukan sahaja untuk bermuhasabah tetapi mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku.

“Perbincangan juga akan meneliti tindakan dalaman parti yang perlu diambil, sama ada dari segi kesiapsiagaan jentera, pembahagian tugasan mahupun persediaan calon bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, kongres itu turut membuka ruang kepada para perwakilan mengemukakan cadangan serta pandangan berhubung dasar kerajaan yang boleh diberi perhatian oleh kepimpinan parti.

“Mungkin ada dapatan atau pandangan yang akan dilontarkan oleh para perwakilan berhubung dasar kerajaan untuk diambil perhatian semasa kongres itu nanti,” katanya.

Prestasi PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan dijangka menjadi antara agenda utama kongres susulan keputusan yang tidak memihak kepada gabungan itu.

Dalam PRN Johor Ke-16 pada 11 Julai lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya memenangi lapan kerusi.

Sementara itu, PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos lalu menyaksikan BN muncul sebagai blok terbesar dengan 18 kerusi DUN, diikuti PH dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak tujuh kerusi.

Keputusan itu turut menyaksikan pembentukan kerajaan negeri menerusi kerjasama BN dan PN.

BBerkaitan

Latest articles