Konflik Gaza Tercetus Kerana Tangan Kejam Israel

KUALA LUMPUR: Wisma Putra hari ini menegaskan perang yang terjadi di Palestin pada hari ini adalah disebabkan kekejaman dan penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat asal negara berkenaan.

Sehubungan itu rakyat dunia perlu membuk mata terhadap nasib malang yang menghimpit rakyat Palestin sekian lamanya yang menjadi mangsa pendudukan haram yang berpanjangan, sekatan dan penderitaan selain kesucian Masjid Al-Aqsa dicemar serta politik perampasan yang dilakukan oleh Israel selaku kuasa penjajah.

Malah kurangnya suara dan tindakan tegas yang bertindak terhadap rejim Israel menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan seragam berkaitan prinsip-prinsip antarabangsa.

“Ia juga menekankan tentang keperluan untuk menyatakan pendirian yang lebih konsisten dalam menangani sebuah rejim aparteid.

“Tidak sepatutnya ada layanan yang tidak tidak sama rata dan kepura-puraan yang nyata dalam menangani mana-mana rejim yang mengamalkan aparteid dan terang-terangan melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Setakat ini, seramai 232 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dan lebih 1,697 orang cedera akibat pengeboman Israel ke atas Gaza semalam.

Tindakan itu dilakukan oleh Israel sebagai serangan balas terhadap Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan Hamas.

Wisma Putra menambah, Malaysia amat bimbang tentang konflik terbaharu di Gaza yang telah mengorbankan ramai nyawa serta menggesa semua pihak bertenang dan menghentikan serangan.

Katanya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu melaksanakan mandatnya bagi menjaga keadaman dan keselamatan antarabangsa.

“Majlis tersebut perlu mengadakan sidang tergempar segera bagi menggesa semua pihak menghentikan keganasan dan menghormati serta melindungi nyawa orang awam,” jelasnya.

Wisma Putra turut menegaskan, rakyat Palestin berhak hidup dalam sebuah negara yang aman dengan sempadan seperti yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sebelum 1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negaranya.

“Mereka juga berhak untuk pulang ke kediaman dan tanah asal mereka yang telah dirampas,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles