KKM Beri Amaran Jangkitan ‘Amoeba Pemakan Otak’

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan rakyat untuk berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti berkaitan air tawar susulan kes pertama jangkitan ‘amoeba pemakan otak’, Naegleria Fowleri yang menyebabkan seorang lelaki maut di Korea Selatan.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di Malaysia.

Menurut kementerian itu, Amoeba Naegleria Fowleri berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ianya berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

Berikutan itu, KKM menasihatkan rakyat Malaysia agar:

i. Elakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat amoeba berada di situ;

ii. Elakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari oleh amoeba boleh memasuki rongga hidung secara terus;

iii. Mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air; dan

iv. Segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher (neck stiffness) secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air.

Tambah Tan Sri Dato’ Dr Noor Hisham, ‘amoeba pemakan otak’ boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM), yang seterusnya boleh membawa maut.

Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher (neck stiffness), kekeliruan (confusion), kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling (lack of attention to people and surrounding), sawan, halusinasi, dan koma juga boleh berlaku.

Kebiasaannya, gejala-gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat- lewatnya 12 hari selepas dijangkiti. Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala.

Rawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan. Namun, rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku sangat cepat.

“KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan yang terbaharu tentang penyakit tersebut,” kata Tan Sri Dato’ Dr Noor Hisham.

BBerkaitan

Latest articles