KJ, Shahril Perlu Kembali Kepada UMNO, Demi Perubahan Parti, Kemajuan Negara

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpandangan masa depan UMNO terus kelam sekiranya parti Melayu itu terus kekal dengan kepimpinan lama sedia ada.

Meskipun setuju bahawa UMNO mempunyai asas sebagai parti Melayu yang kuat, Tunku Ismail dalam masa yang sama berpendapat, ia memerlukan individu berkualiti memimpinnya.

“Perlu ada seseorang yang mampu membawa dinamik berbeza, yang boleh kaitkan dengan senario negara kini mahupun masa depan.

“Kalau masih dengan sistem begitu lama macam sekarang, saya tak lihat Umno akan ada masa depan dalam negara, melainkan mereka berubah.”

Baginda berkata demikian di dalam podcast “Keluar Sekejap” kendalian bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Terdahulu Tunku Ismail ditanya rancangannya selepas menjadi Pemangku Raja Johor memandangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari depan.

Dalam sesi temubual yang sama, baginda juga berharap Khairy dan Shahril kembali ke pangkuan UMNO bagi memajukan negara.

Bahkan lebih penting, parti itu tidak lagi dipimpin berdasarkan senioriti.

“Saya nak tengok orang-orang lebih layak berkhidmat dalam kerajaan, bukan berdasarkan senioriti, tetapi kelayakan. Itu sebab saya nak anda berdua kembali ke UMNO.”

Dalam pada itu, Tunku Ismail mahu membawa agenda pendidikan ke tahap yang lebih baik semasa menjadi Pemangku Raja Johor nanti.

“Agenda pertama saya adalah meminta sedikit kelonggaran dan sokongan daripada kerajaan persekutuan supaya kami boleh menaikkan lagi mutu pendidikan di Johor,” ujarnya.

Mengulas pelantikan Khairy sebagai penasihat belia Johor dan ahli lembaga pengarah kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) biarpun dipecat UMNO, Tunku Ismail berkata, usaha itu bagi memastikan kerelevanan dan penglibatan Khairy bersama rakyat.

“Itu cara saya untuk tunjuk kepada kepimpinan parti tersebut yang saya tidak setuju dengan keputusan beliau. Juga cara saya tunjuk sokongan, walaupun saya bukan dalam bidang politik. Kita memerlukan orang baik untuk mentadbir negara,” jelas baginda.

BBerkaitan

Latest articles