Ketua Pemuda PAS S’gor Tegur Nik Zawawi, Minta Taubat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh terus menerima kritikan pelbagai pihak susulan penularan video ceramahnya yang didakwa mengandungi kenyataan tidak wajar berkaitan empat sahabat utama Rasulullah SAW.

Antara yang tampil memberikan teguran ialah Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar yang secara terbuka menasihatkan bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu supaya segera memperbetulkan kenyataan serta bertaubat.

Menerusi hantaran di Facebook, Mohamed Sukri menegaskan para sahabat Nabi Muhammad SAW mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam dan tidak boleh disamakan dengan manusia biasa.

Katanya, golongan tersebut merupakan insan pilihan Allah SWT yang hidup bersama Rasulullah SAW, menerima wahyu secara langsung serta mempertahankan agama ketika Islam ditentang hebat.

“Mereka meninggalkan harta, keluarga dan tanah air demi Islam. Ada yang diseksa, dipulaukan malah dibunuh ahli keluarga sendiri semata-mata mempertahankan akidah,” katanya.

Walaupun hantaran asal dibuat secara umum tanpa menamakan mana-mana individu, Mohamed Sukri kemudian mengesahkan teguran itu ditujukan kepada Nik Zawawi menerusi ruangan komen.

“Respon saya ini merujuk kepada ceramah YB Dr Nik Zawawi. Saya tidak akan mempertahankan sesiapa yang meletakkan diri melebihi Nabi SAW dan para sahabat.

“Salah tetap salah. YB Dr Nik Zawawi perlu bertaubat dan membetulkan kenyataan tersebut,” katanya lagi.

Sejak semalam, beberapa video ceramah membabitkan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tular di media sosial selepas beliau didakwa menggambarkan kehidupan empat sahabat Rasulullah SAW sebelum memeluk Islam dengan bahasa yang dianggap keterlaluan dan sensasi.

Antara individu yang disebut ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Affan dan Saidina Ali Abi Talib.

Ceramah berkenaan dipercayai disampaikan dalam satu program politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata budaya menghina atau memperlekehkan sahabat Nabi atas alasan kajian sejarah, kebebasan bersuara atau retorik politik merupakan sikap berbahaya yang boleh merosakkan kefahaman agama.

“Ia bukan sahaja mencemarkan adab, malah boleh menggugat penghormatan terhadap Islam kerana agama ini sampai kepada kita melalui para sahabat Rasulullah SAW.

“Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW tidak akan tergamak menghina insan yang paling dicintai dan dipercayai baginda,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles