KUALA LUMPUR: Sebarang kenyataan, penulisan atau ucapan yang menyentuh mengenai para sahabat Rasulullah SAW perlu dibuat dengan penuh adab dan tanggungjawab bagi mengelakkan tercetusnya fitnah serta kegelisahan dalam kalangan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, kedudukan para sahabat Nabi SAW sangat mulia dan tidak sepatutnya dijadikan bahan sindiran, penghinaan atau perdebatan yang boleh mencalar sensitiviti agama.
Beliau menegaskan, setiap Muslim perlu lebih berhati-hati ketika menceritakan kisah berkaitan sahabat Rasulullah kerana perkara tersebut melibatkan aspek yang dipandang tinggi dalam Islam.
“Kita sentiasa memilih untuk bersangka baik dan mungkin tiada niat tertentu di sebalik sesuatu ucapan. Namun jika ia boleh mengundang fitnah, salah faham atau keresahan umat Islam, perkara itu mesti diperbetulkan.
“Jagalah percakapan, bahasa dan adab ketika berbicara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengutamakan keharmonian umat Islam dan berharap masyarakat lebih menumpukan kepada usaha menyebarkan perkara yang membawa kebaikan serta memperkukuhkan perpaduan.
Kontroversi berhubung isu tersebut tercetus selepas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dilaporkan memetik kisah sahabat Nabi dalam satu ceramah baru-baru ini sehingga mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Susulan itu, beberapa pihak tampil menggesa masyarakat supaya lebih beradab dan sensitif ketika membincangkan tokoh-tokoh utama dalam sejarah Islam bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat.
Dalam perkembangan sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyentuh kemuliaan para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Katanya, umat Islam wajib menjaga lidah dan penulisan daripada unsur yang boleh mencetuskan penghinaan atau fitnah terhadap golongan berkenaan.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim mengenai larangan mencela para sahabat.
“Jangan mencela para sahabatku. Sekalipun seseorang menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, ia tetap tidak mampu menandingi amalan yang dilakukan para sahabat,” katanya.










