DBKL Sekat Pembangunan Atas Kolam Takungan Banjir, Kapasiti Susut Hingga 70 Peratus

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tidak akan meluluskan sebarang projek pembangunan di kawasan kolam takungan banjir susulan kapasiti kolam terbabit di ibu negara kini dilaporkan merosot dengan ketara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, situasi itu membabitkan 17 lot tanah kolam takungan banjir di kawasan Jinjang dan Batu yang telah diberikan hak milik kepada pemaju sejak tahun 2015.

Menurut beliau, kira-kira 70 peratus kawasan badan air berkenaan telah dibangunkan sehingga menyebabkan fungsi asal kolam takungan banjir semakin terjejas.

“DBKL tidak akan memberi kelulusan kebenaran merancang untuk sebarang pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir selagi syarat yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) belum dipenuhi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau memaklumkan, penilaian teknikal oleh JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mendapati kerja penyelenggaraan kolam kini berdepan kesukaran apabila laluan masuk untuk jentera semakin terhad akibat pembangunan yang berlaku.

Katanya, keluasan asal kawasan badan air bagi 17 lot terbabit adalah sekitar 114.5 hektar, namun kini hanya berbaki 34.35 hektar.

Sehubungan itu, Hannah menegaskan mana-mana pemaju yang mahu meneruskan projek perlu membuktikan mereka mampu mematuhi semua syarat teknikal ditetapkan termasuk memastikan kapasiti kolam mencukupi dan akses penyelenggaraan tidak terjejas.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata satu pasukan petugas khas turut ditubuhkan bagi menyelaras usaha mitigasi banjir di Kuala Lumpur melibatkan kerjasama DBKL, JPS, agensi berkaitan serta kerajaan Selangor.

BBerkaitan

Latest articles