KOTA BHARU: Seorang penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita muda, Nurfisya Zulkifly, dalam kejadian di Ketereh penghujung April lalu.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hazim didakwa menyebabkan kematian Nurfisya, 19, antara jam 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan minimum 12 sebatan.
Prosiding dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri.
Tertuduh pula diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi mendapatkan beberapa laporan pakar berkaitan kes berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Dalam kejadian pada 1 Mei lalu, mayat Nurfisya ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman pada seluruh badan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa ditemukan tanpa dokumen pengenalan diri sebelum identitinya disahkan melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Siasatan polis turut mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.
Susulan kes itu, empat individu termasuk sepasang warga emas yang juga ibu bapa kepada salah seorang suspek pernah direman bagi membantu siasatan sebelum kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis.










