Kes Lima MP PN, Azalina Kata Rasuah Kalau Anwar Belum Jadi PM

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan tidak ada sebarang unsur rasuah berhubung sokongan lima Ahli Parlimen Bersatu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Azalina, perbuatan itu hanya boleh dianggap rasuah sekiranya individu yang disokong belum menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi kalau dah jadi Perdana Menteri dengan sokongan 149, lagi lima itu untuk apa?” katanya dalam episod sulung Suara Anak Madani yang disiarkan menerusi YouTube malam tadi.

Program temu bual yang dikendalikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin itu turut disertai Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO memberitahu, lima Ahli Parlimen berkenaan menyatakan bahawa mereka ingin menyokong dasar-dasar yang membawa kepada perpaduan dan pembangunan.

“Tetapi tertakluk kepada parti mereka untuk mengambil tindakan,” jelasnya.

Lima Ahli Parlimen terbabit yang kesemuanya dari Bersatu ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

BBerkaitan

Latest articles