KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Projek Janawibawa melibatkan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, melahirkan kebimbangan mendalam mengenai kemungkinan wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam mengatur keterangan saksi pendakwaan.
Barisan peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Chetan Jethvani, membangkitkan isu serius itu susulan pendedahan di mahkamah sesyen hari ini mengenai kewujudan dua versi berbeza kenyataan bertulis membabitkan saksi pendakwaan ke-36, Datuk Hishammuddin Abdul Karim, yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka.
Isu tersebut timbul selepas penelitian terhadap dokumen kenyataan bertulis baharu setebal 15 muka surat yang didapati mempunyai perbezaan ketara serta pengguguran beberapa fakta yang dianggap material oleh pasukan pembela, berbanding dokumen pernyataan asal setebal 10 muka surat yang ditandatangani saksi berkenaan sebelum ini.
Suasana menjadi tegang apabila pihak pendakwa tidak bersetuju untuk saksi menandatangani kenyataan bertulis 15 muka surat yang timbul di mahkamah hari ini.
Pendakwaan terhadap Wan Saiful dikendalikan barisan timbalan pendakwaraya yang diketuai Dr Ifa Sirrhu Samsudin.
Amer Hamzah ketika ditemui di luar mahkamah menyifatkan perbezaan kandungan serta pengurangan halaman dokumen kenyataan bertulis saksi pendakwa itu sebagai sesuatu yang amat serius kerana ia boleh menimbulkan persoalan mengenai integriti bukti yang dibawa di mahkamah.
Menurut Amer, kewujudan dua versi dokumen berbeza yang dibacakan di mahkamah membangkitkan persoalan besar mengenai ketelusan proses penyediaan keterangan saksi. Ia juga menimbulkan persoalan adakah saksi telah dilatih oleh mana-mana pihak luar.
“Perkara ini adalah serius ya, kerana ia membangkitkan persoalan sama ada wujudnya campur tangan daripada pihak-pihak luar, pihak ketiga, berhubung dengan apakah keterangan yang boleh diguna pakai di dalam mahkamah. That is very, very dangerous,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan jika terdapat unsur penapisan bukti secara sengaja demi kepentingan pihak-pihak tertentu yang boleh merosakkan kredibiliti sistem keadilan negara.
“Kerana adakah wujudnya unsur-unsur selective evidence yang hanya memihak kepada pihak pendakwaan dikemukakan di mahkamah? That is very dangerous. Dan setelah berbincang dengan Chetan juga, kami bersetuju bahawa apa yang berlaku ini boleh terjatuh ke dalam kategori penghinaan mahkamah,” tegas beliau.
Amer Hamzah memaklumkan bahawa pihak pembelaan kini sedang meneliti perkembangan itu secara mendalam sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk kemungkinan memfailkan prosiding menghina mahkamah (contempt of court) terhadap individu yang terlibat dalam memanipulasi naratif pernyataan saksi berkenaan.
Wan Saiful, 51, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok (2 Julai 2026) jam 9 pagi dengan saksi yang sama iaitu Datuk Hishamuddin Abdul Karim.










