IPOH: Polis akan meneruskan siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh, meskipun individu berkenaan telah membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt. Abdul Malik Hasim berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas polis menerima 11 laporan daripada pelbagai pihak, termasuk sekumpulan Tok Batin.
Beliau berkata polis akan mengambil keterangan lelaki terbabit dalam masa terdekat selain mendapatkan pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung beberapa aspek, termasuk kandungan video yang dimuat naik.
Semalam, lelaki berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video selepas tercetus kontroversi susulan siaran langsung di platform TikTok yang didakwa memfitnah Tok Batin Mohd Asmmadi dan pendaki wanita, Jaslinda Saludin.
Sebelum itu, dalam siaran langsung berkenaan, lelaki tersebut didakwa membuat kenyataan bahawa Jaslinda telah “disimpan” oleh Tok Batin Mohd Asmmadi selama dua minggu serta mendakwa sekiranya perkara itu tidak tular, kedua-duanya berkemungkinan akan berkahwin.
Pada Sabtu lalu, Jaslinda, 49, ditemui selamat oleh penduduk Kampung Lubuk selepas dilaporkan hilang selama 14 hari ketika melakukan pendakian di Gunung Liang Timur, Perak, sejak 24 Mei lalu. – Bernama










