KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan hubungan BN dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, situasi politik di peringkat negeri tidak boleh disamakan dengan landskap politik nasional kerana kedua-duanya beroperasi dalam kerangka yang berbeza, sekali gus menolak tanggapan bahawa kerjasama di Negeri Sembilan akan membawa kepada keretakan kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, setiap negeri mempunyai struktur pentadbiran, kepimpinan dan institusi pemerintahan tersendiri, justeru keputusan politik di sesebuah negeri tidak semestinya memberi kesan kepada hubungan parti di Putrajaya.
“Kalau kita lihat di Sabah, apabila Warisan berada di blok pembangkang, hubungan di peringkat Persekutuan tidak pula terputus. Kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah dua perkara yang berbeza.
“Setiap negeri mempunyai perlembagaan, kepimpinan serta sultan atau raja masing-masing. Kepimpinan parti juga sudah berkali-kali menjelaskan bahawa keadaan di pusat berbeza daripada di negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), hari ini.
Azalina mengulas gesaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi, yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lebih awal memorandum persefahaman (MoU) antara BN dan PH selepas mendakwa hubungan kepercayaan antara kedua-dua gabungan itu sudah terhakis.
Gesaan itu dibuat susulan dakwaan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PAS, Tan Sri Annuar Musa bahawa PN memainkan peranan penting membantu BN membentuk kerajaan Negeri Sembilan sehingga memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas perkara itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menegaskan kenyataan Puad hanyalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri sendiri telah beberapa kali menegaskan bahawa kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sementara itu, Azalina memaklumkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan mengadakan mesyuarat esok bagi memperhalusi Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI).
Katanya, penelitian itu akan mengambil kira pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan profesional, termasuk cadangan supaya skop rang undang-undang berkenaan diperluaskan.
“Saya berharap penelitian ini dapat dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang,” katanya.










