KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tiada isu alan dibangkitkan jika setiap pihak memahami bagaimana pindaan peruntukan undang-undang bagi setiap anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara dan diberikan kerakyatan secara automatik.
Menurut beliau, konsensus umum telah dicapai khususnya dari segi takrif istilah ‘ibu bapa’.
“Tidak sepatutnya menjadi isu walaupun kepada orang Melayu.
“Malah, dalam bahasa Melayu ‘parents’ bermakna ‘ibu bapa’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di Kuala Lumpur, pagi ini.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Yang turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Badan Peguam, Karen Cheah.
Untuk rekod, mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu bersetuju setelah meneliti dan bersetuju mencari penyelesaian isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, berdasarkan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.
Kerajaan dijangka membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan keputusan tersebut di Dewan Rakyat bulan depan.
Bagaimanapun ia akan dipersembahkan terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja dalam masa beberapa hari lagi.
Dalam pasa itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang tidak mampu mendapatkan peguam untuk membela diri di mahkamah.
Anwar berkata, YGBK selaku penyedia khidmat bantuan guaman terbesar di negara ini sejak 12 tahun lalu telah membantu dan mewakili ratusan ribu orang dalam prosiding jenayah sekali gus mempertingkatkan akses rakyat kepada keadilan.
“Semasa di (Penjara) Sungai Buloh, saya sendiri melihat ramai banduan yang diberikan peluang untuk dibicarakan,” jelasnya.
Beliau juga menyedari bahawa sejumlah kes kecil tertangguh kerana tertuduh tidak diwakili peguam yang dapat mempertahankan dan membela mereka.