Kerajaan Umum Peruntukan Bukan Ada Kaitan Dengan PRN

KUALA LUMPUR: Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap beberapa peruntukan di Terengganu baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri (PRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjelaskan pengumuman peruntukan kepada tiga persatuan belia di Terengganu tersebut dilakukan sehari sebelum penamaan calon.

“Penamaan calon semalam, dia tak ada kena mengena dengan PRN. Ada orang cadang tak ada pengumuman langsung, tak boleh,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, selepas hadir Majlis Penutup Hari Pengguna Kebangsaan di Bukit Jalil.

Terdahulu dalam majlis yang sama, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta bagi Program Rahmah.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan perlu menjalankan fungsi seperti biasa dan perlu bertemu dengan masyarakat.

Tambahan, menurutnya, beberapa program telah dirancang sekian lama dan tidak boleh dibatalkan serta-merta.

“Ini tidak harus menghalang kerja-kerja kerajaan, saya kena jumpa pegawai-pegawai kerajaan. Program ini (contohnya) sudah ditetapkan tiga bulan, jadi bila saya umum (peruntukan) kerana permohonan kementerian sudah berapa lama, kita nak umum semasa Hari Pengguna.

“Contoh pengumuman Ekonomi Madani (diputuskan) semasa Pelan Induk Industri dan penilaian Rancangan Malaysia Ke-12. Adakah ini semua kena tunda? Tidak, kerja kena diteruskan,” kata Anwar.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, semasa majlis kerajaan dan pengumuman peruntukan tidak dibenarkan sebarang pemasangan bendera parti dan dihadiri oleh calon pilihan raya.

Kabinet juga kata Anwar telah memutuskan bahawa jentera kerajaan tidak boleh digunakan semasa kempen dijalankan.

Penjelasan Anwar itu merujuk kepada kritikan pembangkang yang mendakwa pengumuman Ahmad Zahid berkenaan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Beliau turut mengumumkan RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.

Pembangkang mendakwa tindakan Ahmad Zahid memberikan peruntukan dan menyatakan peruntukan akan ditambah jika parti kerajaan menang PRN di negeri tersebut dianggap sebagai sogokan.

BBerkaitan

Latest articles