PRN Sabah Jadi Petunjuk, Dakwa Undi Bukan Melayu Mula Berubah

LEDANG: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan landskap politik semasa menunjukkan pengundi bukan Melayu tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘deposit tetap’ kepada DAP seperti tanggapan sebelum ini.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu menjadi petunjuk penting apabila calon-calon DAP didakwa gagal memperoleh sokongan seperti yang dijangkakan daripada pengundi bukan Melayu.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan pengundi kini lebih terbuka untuk membuat pilihan berdasarkan calon dan parti yang diyakini, bukannya terikat kepada satu gabungan politik tertentu.

“Selama ini ada tanggapan bahawa pengundi bukan Melayu tidak bersama BN. Namun keputusan pilihan raya di Sabah menunjukkan ramai pengundi bukan Melayu memilih calon selain DAP,” katanya ketika ditemui semasa membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim.

Ismail Sabri berkata, trend tersebut boleh memberi kesan kepada persaingan dalam PRN Johor kerana sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN dilihat semakin meningkat.

“Pengundi bukan Melayu kini bebas memilih sesiapa sahaja. Tidak ada sebab untuk mereka menolak BN dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi bukan Melayu supaya memberikan sokongan kepada BN dengan alasan gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya.

“Jangan sia-siakan undi anda. Pilihlah parti yang berpotensi membentuk kerajaan, iaitu BN,” katanya lagi.

Kenyataan Ismail Sabri itu dilihat sebagai usaha BN untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa gabungan berkenaan kini mampu menarik sokongan lebih meluas berbanding pilihan raya terdahulu.

BBerkaitan

Latest articles